Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Tujuh lelaki termasuk seorang bekas doktor hospital tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas dakwaan membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais.

G Gunasekaran, 44; R Dinishwaran, 22; A Thinesh Kumar, 23; M Vishwanath, 26; S Nimalan, 23; dan S Ravichandaran, 35, mengaku tidak bersalah membunuh Morais selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pakar Patalogi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 53, mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh mendiang, pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Sebelum ini semua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 28 September 2015 bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Semua tertuduh didakwa membunuh mangsa yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul ke No 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:00 PM