ISMAIL Sabri merasmikan van Pusat Rehabilitasi sempena majlis Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Raya Wilayah KETENGAH di Padang Astaka Bandar Ketengah Jaya, Dungun. FOTO Shamsudin Husin
ISMAIL Sabri merasmikan van Pusat Rehabilitasi sempena majlis Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Raya Wilayah KETENGAH di Padang Astaka Bandar Ketengah Jaya, Dungun. FOTO Shamsudin Husin
Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham dan Shamsudin Husin


BANK Negara melalui Agro Bank bersetuju membenarkan pinjaman perumahan golongan belia luar bandar dibuat tanpa slip gaji bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun ia hanya membabitkan Rumah Bina Negara (RBN) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Beliau berkata, pemohon perlu mendapatkan pengesahan daripada wakil rakyat, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (J3K) dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR) sebelum pinjaman dibuat.

"Pelbagai projek perumahan dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat terutama golongan belia tetapi mereka gagal mendapat manfaat itu apabila institusi perbankan tidak meluluskan pinjaman kerana tidak mempunyai slip gaji.

"Ada sesetengah mereka ini layak dan menepati syarat ditetapkan tetapi permohonan ditolak kerana kegagalan itu.

"Sehubungan itu, perbincangan diadakan dengan Bank Negara sebelum persetujuan dicapai dengan memberi kelonggaran untuk membantu golongan itu,” katanya ketika Majlis Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Raya Wilayah KETENGAH di Padang Astaka, Bandar Ketengah Jaya, Dungun.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Datuk Borhan Dolah, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad serta Timbalan Pengerusi KETENGAH yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:03 PM