Dungun: Semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kejadian banjir di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ibrahim Muhamad berkata, pihaknya menyediakan peruntukan bantuan makanan dan kelengkapan lain yang mencukupi untuk disalurkan segera kepada semua mangsa banjir.

“Semua sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bantuan makanan kepada mangsa banjir,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Almuktaffi Billah Shah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Roslee Daud serta Pengurus Besar KETENGAH Wan Mat Amin Wan Daud.

Pada majlis itu, Ibrahim menyampaikan anugerah kepada Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu yang muncul juara Anugerah Desa Sejahtera yang membawa pulang hadiah projek ekonomi sebanyak RM50,000 dan RM8,000 untuk hadiah iringan.

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan peruntukan berhubung kerosakan rumah dan barangan milik penduduk yang rosak akibat ditenggelami banjir.

“Kami menyediakan peruntukan sama ada untuk membaiki atau membina rumah baru berhubung dengan kerosakan itu.

“Selepas menerima laporan kerosakan itu, kita akan menyiasatnya terlebih dulu sebelum hulurkan peruntukan membaiki dan membaik pulih kerosakan terbabit,” katanya.

Katanya, selain itu pihaknya akan menyalurkan peruntukan bagi membaiki jalan yang rosak akibat ditenggelami banjir.

“Peruntukan sudah ada dan kami akan membuat pemantauan terhadap jalan yang rosak akibat banjir dan akan segera membaikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:25 AM