Ismail (kiri)   meninjau contoh Rumah Bina Negara selepas majlis  perasmian di Kampung Bintang.
Ismail (kiri) meninjau contoh Rumah Bina Negara selepas majlis perasmian di Kampung Bintang.

Temerloh: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan 4,000 unit rumah di bawah Program Rumah Bina Negara (RBN) bagi generasi kedua luar bandar khususnya pekebun kecil dan penoreh getah akan siap dibina menjelang 2020.

Program RBN dilaksanakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi memberi fokus kepada pembangunan belia luar bandar dengan mewujudkan perumahan itu supaya generasi kedua dapat menjana ekonomi menerusi aktiviti perladangan serta pertanian.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu dilakukan atas kesedaran kerajaan terhadap kesulitan dihadapi generasi kedua pekebun kecil luar bandar khususnya yang berkeluarga, namun belum memiliki rumah sendiri kerana faktor kenaikan harga dan memilih untuk tinggal bersama keluarga.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, 21 peratus golongan belia luar bandar yang berkeluarga menginap bersama keluarga dan tidak memiliki rumah.

“Justeru, dengan adanya rumah ini, kita harapkan golongan belia terutama generasi kedua yang tinggal di kampung mampu memiliki rumah pada harga berpatutan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran RBN di Kampung Bintang, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:31 AM