ANGGOTA APM menangkap ular sawa, semalam.
ANGGOTA APM menangkap ular sawa, semalam.

Klang: Seorang pekerja kolam ternakan itik di Jalan Langat di sini, yang sedang memberi makan ternakan berkenaan dikejutkan dengan kehadiran ular sawa sepanjang kira-kira dua meter, jam 7.55 pagi semalam.

Penyelia kolam itu, Muhd Tamil Selvan Chelvan Abdullah, 27, berkata, pekerja berusia 40-an berkenaan pada awalnya menyangka objek di tengah kolam berkenaan adalah kain batik.

“Dia kemudiannya menghampiri objek berkenaan namun terkejut mendapati ia ular sawa.

“Dia melakukan pemeriksaan dan mendapati seekor daripada lapan itik sudah dimakan reptilia terbabit,” katanya.

Menurutnya, pekerja terbabit kemudiannya menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Komander Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Klang Mohd Shahrir Musa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan, jam 7.57 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati reptilia seberat kira-kira 15 kilogram terbabit masih bersembunyi dalam kolam berkenaan.

“Kami mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan dengan menggunakan tali penjerut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 10:06 AM