Anggota APM Marang menangkap ular sawa seberat 180 kilogram yang membaham dua ekor kambing di Kampung Bukit Rhu Rendang, Bukit Kor. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Anggota APM Marang menangkap ular sawa seberat 180 kilogram yang membaham dua ekor kambing di Kampung Bukit Rhu Rendang, Bukit Kor. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Seorang penternak kambing mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila dua kambing kampung miliknya dibaham ular sawa.

Ular sawa yang dianggarkan seberat 180 kilogram (kg) ditemukan dalam keadaan kekenyangan di kandang kambingnya pada 9.30 pagi, hari ini.

Syazwan Ramli, 28, dari Kampung Bukit Rhu Rendang, Bukit Kor berkata, dia bersama bapa mentuanya, Ngah Abd Ghani, 53, terkejut apabila menemukan ular sawa itu di dalam kandang.

"Saya dan bapa mentua ingin memberi makan kambing tetapi tergamam apabila melihat ular sawa yang sangat besar di dalam kandang.

"Ular sawa itu membaham dua kambing yang diternak menyebabkan reptilia itu tidak mampu bergerak.

"Saya terus hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bapa mentuanya menternak kambing itu sejak Oktober tahun lalu dengan jumlah kambing keseluruhan sebanyak 12 ekor.

"Sebelum ini sudah mengalami kerugian RM14,000 apabila tujuh kambing dibaham harimau kumbang pada awal Disember lalu.

"Sekarang tinggal tiga kambing daripada 12 ekor kambing yang diternak," katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan ayah mentua sedih dan tidak bersemangat untuk meneruskan penternakan kambing itu.

"Bagaimanapun, sebagai penternak kami akur. Kejadian seperti itu memang menjadi asam garam dan risiko yang perlu diterima penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:56 PM