ANTARA ular pelbagai jenis yang ditangkap APM Kelantan. FOTO NSTP
ANTARA ular pelbagai jenis yang ditangkap APM Kelantan. FOTO NSTP
Mohamad Zulhairie Manzaidi


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menangkap 720 ekor ular pelbagai spesis di Kota Bharu, tahun ini.

Kapten (PA) APM daerah Kota Bharu, Wan Shukri Wan Ayub berkata, tangkapan paling banyak membabitkan ular senduk dan sawa.

Katanya, anggaran reptilia yang pernah ditangkap pihaknya dianggarkan sepanjang satu hingga enam meter dan berat mencecah sehingga 80 kilogram.

"Tangkapan paling banyak iaitu 168 ekor ular pelbagai jenis pada Mac lalu.

"Manakala tangkapan paling sedikit dibuat iaitu 98 ekor pada bulan ini sehingga semalam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan reptilia terbabit ditangkap di rumah penduduk kampung.

Katanya, lokasi yang sentiasa menjadi sasaran ular pelbagai spesis biasanya di bahagian dapur.

"Ular agak sensitif dengan musim panas, jadi haiwan terbabit biasanya akan memilih ruangan dapur kerana ia lembab dan sejuk," katanya.

Wan Shukri berkata, terbaru pihaknya berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang tiga meter dan berat kira-kira 20 kilogram.

"Tangkapan dibuat di Kampung Cherang pagi semalam selepas menerima laporan daripada penduduk kampung.

"Haiwan terbabit ditangkap dan disimpan dalam sangkar bagi tempoh dua minggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:44 PM