(Gambar fail) Anggota APM memegang ular tedung selar sepanjang enam meter dan seberat 28 kilogram yang ditangkap di Kampung Kota Guar Napai, Napoh, baru-baru ini. (Gambar kecil) Saifuddin Abdullah.
(Gambar fail) Anggota APM memegang ular tedung selar sepanjang enam meter dan seberat 28 kilogram yang ditangkap di Kampung Kota Guar Napai, Napoh, baru-baru ini. (Gambar kecil) Saifuddin Abdullah.
Zuliaty Zulkiffli


KES tangkapan ular berbisa di Kedah semakin meningkat berikutan perubahan cuaca panas yang menyebabkan reptilia itu mencari kawasan perumahan dan reban haiwan ternakan yang lebih sejuk untuk berlindung.

Pegawai Bahagian Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan kes membabitkan tangkapan haiwan berbisa itu akan bertambah sekitar April ini disebabkan musim kemarau atau panas terik.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya menangkap 5,894 ekor ular pelbagai spesis terutamanya tedung selar, senduk dan sawa.

Katanya, daripada jumlah itu daerah Kota Setar mencatatkan jumlah kes tangkapan tertinggi iaitu 1,097 kes diikuti Kuala Muda iaitu 1,091 dan Kulim pula 771 kes.

“Sekarang ini, ular banyak ditemui di kawasan bandar kerana populasi mereka terancam berbanding penemuan reptilia itu di kawasan kampung sebelum ini.

“Antara punca menyebabkan kes bertambah disebabkan banyak penempatan baru dibuka berhampiran kawasan hutan menyebabkan ia mengancam habitat reptilia berkenaan.

“Biasanya kes ular tedung selar dan senduk ditemui memasuki rumah penduduk di bawah almari, kusyen, katil, bilik air, tandas dan longgokan baju untuk ia berlindung manakala ular sawa biasanya ditemui di kawasan reban serta kandang haiwan ternakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan di Alor Setar, hari ini.

Saifuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak memukul ular berkenaan sebaliknya menghubungi pasukan APM untuk menangkap reptilia berkenaan kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, ini kerana ular akan menyerang apabila terasa diancam dan ia mungkin akan membahayakan keselamatan penghuni dalam rumah berkenaan.

“Kita jangkakan bilangan kes tangkapan ular di negeri ini akan bertambah pada akhir Mac depan berikutan perubahan cuaca panas akan berlaku yang menyebabkan mereka keluar mencari tempat perlindungan dan makanan.

“Disebabkan itu, reptilia ini akan menjalar ke kawasan rumah penduduk, pejabat, kilang dan rumah kedai untuk berlindung yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Kes terbaru yang kami terima adalah kes tangkapan ular tedung selar paling berbisa dan terbesar di negeri ini seberat 28 kilogram sepanjang enam meter di sebuah kampung di Napoh, Jitra Khamis lalu,” katanya. Saifuddin juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan menutup saluran lubang bilik air di rumah atau tempat yang boleh menyebabkan reptilia itu masuk selain memotong dahan pokok untuk mengelakkan ia berjuntai sekali gus memudahkan ular menjalar masuk ke dalam rumah.

Beliau berkata, semua ular yang ditangkap akan dibawa ke pejabat APM daerah masing-masing sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

“Ada juga sebahagian ular kecil kami bebaskan ke hutan simpan berhampiran yang menjadi habitat asal reptilia itu untuk mendapatkan perlindungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 4:48 PM