Suspek utama kes ragut yang tahan polis dengan bantuan orang ramai di Pantai Chenang, Jumaat lalu. Gambar ihsan Kumpulan Info Langkawi.
Suspek utama kes ragut yang tahan polis dengan bantuan orang ramai di Pantai Chenang, Jumaat lalu. Gambar ihsan Kumpulan Info Langkawi.
Hamzah Osman


TIGA lelaki berusia antara 25 dan 31 tahun ditahan polis selepas terbabit dengan jenayah ragut di sekitar Langkawi di dua lokasi berasingan, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek utama berusia 25 ditahan dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Padang Matsirat di Pantai Chenang pada 12.45 tengah malam Jumaat lalu.

"Tangkapan pertama itu dilakukan dengan bantuan orang awam dan siasatan terhadap suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakan jenayahnya pada 3 pagi hari sama.

"Suspek mengaku terbabit dalam jenayah ragut bersama dua rakannya berusia 26 dan 31 tahun sejak penghujung Jun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Ghazali berkata, polis turut merampas pelbagai barangan hasil curi dengan sebahagian daripadanya sudah dijual oleh suspek di sekitar Kampung Kelibang.

"Ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan mereka sedang menjalani tahanan reman sebelum dituduh di bawah kes jenayah dan salah guna dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:30 PM