ANTARA barangan curi yang dirampas polis. FOTO  ihsan Polis
ANTARA barangan curi yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Polis melumpuhkan satu sindiket curi enjin bot dan peralatan pelayaran yang bergiat aktif di persekitaran Sungai Kilim di sini, selepas menahan tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan.

Berikutan penahanan ketiga-tiga suspek berusia 25, 30 dan 43 tahun, polis menemui semula enjin bot dan peralatan pelayaran bernilai RM30,000 dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Polis juga percaya penangkapan suspek dalam Ops Kesan yang dilancarkan sejak 12 Ogos lalu dapat menyelesaikan tiga kes jenayah curi di sekitar Sungai Kilim sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, hasil siasatan mendapati kesemua barangan yang dicuri dijual kepada beberapa individu selain untuk kegunaan sendiri.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun pada 12 Ogos lalu, disusuli dua tangkapan lagi membabitkan suspek berusia 25 dan 43 tahun.

"Berdasarkan soal siasat kesemua suspek mengaku terbabit dalam tiga kes curi enjin bot serta peralatan pelayaran dan merekajuga didapati positif dadah selepas ujian awal saringan air kencing dilakukan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kataya, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:54 PM