KETUA Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang.
KETUA Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang.
Hamzah Osman


Langkawi: Kurang 24 jam meragut suami isteri pelancong Mesir, remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis di Kampung Bukit Nau, Mukim Padang Matsirat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, suspek ditahan bersama teman wanitanya berusia 17 tahun oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan di kawasan itu pada jam 2.30 petang.

"Berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggota polis menahan suspek bersama teman wanitanya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Nau, Mukim Padang Matsirat di sini.

"Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah itu turut menemui satu kotak rokok yang di dalamnya mengandungi empat straw berisi dadah disyaki heroin seberat 0.85 gram," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Che Ghazali berkata, polis turut merampas masing-masing sehelai baju T berwarna biru dan seluar pendek yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah ragut.

Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku melakukan jenayah ragut ke atas pelancong Mesir, Adel Hamed Helmy Abdelmagid, 25, dan isterinya jam 4.30 petang semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu pasangan terbabit didatangi seorang lelaki sebelum meragut beg silang milik isteri Adel Hamed Helmy sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

"Dalam kejadian itu mangsa, Adel Hamed Helmy turut cedera di tangan selain masing-masing kehilangan dokumen peribadi termasuk passport.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika samun tanpa senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 10:55 PM