FOTO Zulfadly Zulkifly
FOTO Zulfadly Zulkifly
Kalidevi Mogan Kumarappa


SERAMAI 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di enam restoran masing - masing di Setapak dan Hartamas, hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi JIM Kuala Lumpur, Sanpall Sannasi berkata, dalam operasi yang bermula jam 12 tengah hari itu, sebanyak lapan lokasi berada dalam sasaran namun dua daripadanya ditutup lebih awal kemungkinan akibat risau dengan tindakan JIM.

Katanya, hasil serbuan itu, seramai 48 orang berjaya ditahan termasuk enam wanita berusia 17 hingga 40 tahun.

“Daripada jumlah itu, 20 adalah dari Bangladesh, 14 dari Indonesia, tujuh Nepal, enam Myanmar dan seorang Vietnam.

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002), Seksyen 15(1)(c) akta yang sama selain Perkara 39(b) Peraturan - peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 6:18 PM