PATI yang  didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.
PATI yang didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.

Sepang: Seramai 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam susulan Op Mega E-Kad yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 1 Julai lalu.

Semua PATI terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Thailand dan India itu didakwa mengikut pelbagai kesalahan iaitu Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JIM Putrajaya dan Shah Alam di hadapan Hakim Sesyen Saifulakmal Mod Said Hakim di Mahkamah Sesyen Sepang, pagi semalam.

Mereka ditahan dalam operasi bermula 1 Julai lalu di beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor dan Putrajaya selepas tamat tempoh pendaftaran program kad sementara Enforcement Card (E-Kad).

Seramai 25 PATI ditahan di sekitar Shah Alam manakala, 29 yang lain ditahan di Putrajaya kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan.

Sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, semua tertuduh faham kertas pertuduhan dan mengaku bersalah.

Saifulakmal menetapkan semua tertuduh dipenjara masing-masing antara sebulan hingga tiga bulan dari tarikh ditangkap manakala ada antara mereka dikenakan denda RM800.

Semua tertuduh dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara.

Setakat Isnin lalu, 3,014 PATI berjaya diberkas bermula 1 Julai lalu dengan warga Bangladesh mendominasi dengan 1,160 orang.

Sementara itu, warga Indonesia mencatatkan tangkapan kedua tertinggi iaitu 695 individu diikuti (231) Myanmar, Vietnam (116), Thailand (111), Filipina (95) dan bakinya dari pelbagai negara membabitkan seramai 2,429 lelaki, 570 wanita dan 15 kanak-kanak.

Sepanjang tempoh 10 hari operasi, JIM mengadakan 502 operasi penguatkuasaan di seluruh negara termasuk memeriksa 9,320 warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 11:02 AM