Datuk Seri Najib (tengah) bersama isteri ketika menziarahi Osman Jusoh,77, dan isteri, Siti Zabedah Saidin, 69, Kampung Kodiang Luar, Kodiang, Kedah. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Najib (tengah) bersama isteri ketika menziarahi Osman Jusoh,77, dan isteri, Siti Zabedah Saidin, 69, Kampung Kodiang Luar, Kodiang, Kedah. - Foto BERNAMA
Aizat Sharif

PASANGAN warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), Osman Jusoh, 77 dan isteri, Siti Zabedah Saidin, 69, di Kampung Kodiang Luar, Kodiang, Kedah, ceria dengan kunjungan Perdana Menteri ke rumah mereka, hari ini.

Anak tunggal pasangan itu, Intan Zulina Osman, 31, berkata ibu dan bapanya mengalami masalah pendengaran, amat terharu dengan namun kesudian Perdana Menteri mengunjungi mereka.

“Ibu dan bapa juga terlantar tidak mampu bergerak. Kunjungan Perdana Menteri sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada mereka.

“Saya dimaklumkan mengenai Perdana Menteri akan datang, Sabtu lalu, namun tidak menyangka beliau benar-benar akan datang ke rumah kami,” katanya di rumahnya di Kodiang, hari ini.

Intan yang juga ibu tunggal, mempunyai tiga orang anak berusia antara tujuh dan 12 tahu, menyara ibu bapanya dengan berniaga nasi lemak di kampung itu.

"Saya menyara keluarga dengan berniaga nasi lemak dengan pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari. Hanya ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan,”katanya.

Sementara itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pada 6.35 petang, meluangkan masa 10 minit bersama dua warga emas itu.

Najib dan isteri yang membuat lawatan sehari ke Kedah dan Perlis, turut menyalurkan bantuan kewangan serta makanan kepada pasangan itu.

Perdana Menteri diiring Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:46 PM