TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Seorang penyelia kilang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas tujuh pertuduhan antaranya memberi sokongan kepada aktiviti dan memiliki barangan kumpulan pengganas Daish.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Firdaus Abdullah, 27, yang mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Ogos tahun lalu.

Azman menjatuhkan hukuman masing-masing penjara empat tahun bagi tiga pertuduhan memiliki barangan berkaitan pengganas dan lapan tahun bagi empat lagi pertuduhan dan semuanya berjalan serentak.

Mohamad Firdaus didakwa atas tiga pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan Daish dan al-Qaeda iaitu 123 video, 83 keping gambar yang ditemui di dalam telefon bimbit serta cakera keras dan buku bertajuk Tarbiyah Jihadiyah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dua lokasi iaitu Taman Muafakat Utama dan Taman Suria Muafakat Utama, Larkin, Johor antara jam 6.55 petang hingga 8.25 malam, 4 Ogos 2016.

Bagi semua pertuduhan itu, Mohamad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak barang berkenaan jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas iaitu serangan bom di Kelab Malam Movida di Puchong dan cadangan serangan dron ke atas Putrajaya, Bukit Aman serta sebuah kuil di Bukit Jalil melalui aplikasi Telegram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 4:53 AM