ANGGOTA bomba memanjat bumbung garaj untuk menyelamatkan mangsa.
ANGGOTA bomba memanjat bumbung garaj untuk menyelamatkan mangsa.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Tampin: Tekanan perasaan akibat masalah keluarga dipercayai punca seorang pelajar lelaki sekolah asrama penuh di daerah ini cuba terjun dari tingkat satu asrama berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 3.23 pagi, remaja berusia 17 tahun itu bernasib baik apabila terjatuh atas bumbung garaj berdekatan yang digunakan sebagai tempat menyidai pakaian.

Sumber berkata, remaja berkenaan hanya cedera ringan dan pengsan. Kejadian disedari pelajar dan warden asrama sebaik terdengar dentuman kuat.

“Kejadian berlaku apabila remaja terbabit dipercayai berdepan tekanan perasaan akibat masalah keluarga kerana ibu bapanya dalam proses perceraian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas M Danapala berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.24 pagi lalu menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati remaja itu terbaring atas bumbung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota memanjat bumbung untuk menyelamatkan remaja terbabit. Pemeriksaan mendapati dia tidak cedera serius lalu dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas sebelum dirujuk ke Hospital Tampin,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 6:06 AM