Kemalangan di Kilometer 1.7, Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, Tampin yang mengorbankan dua pelajar tingkatan  enam, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan di Kilometer 1.7, Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, Tampin yang mengorbankan dua pelajar tingkatan enam, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Dua pelajar wanita tingkatan enam maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 1.7, Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka, Tampin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, dalam kejadian 12.35 tengahari, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Air Kuning Selatan, Tampin.

Katanya, rakan sekelas berusia 18 dan 19 tahun itu menunggang motosikal Honda EX5 sebaik tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Taha, Tampin.

"Motosikal ditunggang pelajar 18 tahun terbabas ke kiri jalan. Akibatnya mereka melanggar papan tanda dan merempuh tiang elektrik," katanya.

Hamazah berkata, kedua-dua mangsa maut di lokasi berikutan parah di kepala serta badan. Mayat dibawa ke Hospital Tampin, di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 6:16 PM