Keadaan mangsa selepas dibawa turun dari atas bumbung garaj oleh anggota bomba. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan mangsa selepas dibawa turun dari atas bumbung garaj oleh anggota bomba. - Foto Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Tampin: Seorang pelajar tingkatan lima terselamat dengan hanya cedera ringan selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, awal pagi hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Gemas, M Danapala berkata, dalam kejadian 3.24 pagi itu, pelajar berusia 17 tahun itu terjatuh ke atas bumbung garaj yang digunakan sebagai tempat menyidai pakaian.

Katanya, pihaknya yang menerima maklumat kejadian mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi yang tiba 10 minit kemudian.

"Sebaik tiba anggota mendapati mangsa tidak sedarkan diri di atas bumbung berkenaan.

"Anggota kami memanjat bumbung dan membawanya turun sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Gemas di sini," katanya.

Menurutnya, pelajar itu tidak mengalami kecederaan serius namun dirujuk ke Hospital Tampin, di sini.

Tidak dapat dipastikan kenapa atau bagaimana pelajar berkenaan boleh terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 10:22 AM