ANGGOTA  bomba  menyelam  untuk mengeluarkan mayat Muhammad Faiz    yang terbenam di dasar sungai.
ANGGOTA bomba menyelam untuk mengeluarkan mayat Muhammad Faiz yang terbenam di dasar sungai.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Selepas enam hari mencari, akhirnya mayat mangsa lemas, Muhammad Faiz Surimin, 12, ditemui jam 10.30 pagi semalam di dasar sungai 91.44 meter dari perangkap sampah Sungai Serai, Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Masai.

Menurut bapanya, Surimin Suparman, 55, dia sekeluarga tidak pernah putus berdoa supaya jasad anak bongsu daripada enam beradik itu ditemui.

“Selama enam hari, kami sekeluarga tidak pernah putus berdoa selain pelbagai ikhtiar dilakukan dengan niat tiada lain supaya jasad Muhammad Faiz ditemui dan dapat disempurnakan dengan baik.

“Dari hari pertama mendapat berita sedih ini, kami reda namun berharap dapat melihat jasadnya.

“Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan,” katanya yang memaklumkan jenazah Muhammad Faiz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cahaya Baru, Masai selepas proses menuntut mayatnya selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, mayat mangsa dijumpai pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan sempurna fizikalnya.

“Keadaan mayat mangsa sempurna namun sedikit kembung dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Sharol Suboh berkata, tujuh anggota bomba terbabit dalam operasi SAR yang bermula jam 9 pagi sebelum mayat mangsa ditemui pada jam 10.30 pagi.

“Mayat mangsa ditemui di dasar sungai dan tertimbus dengan pasir dan lumpur.

“Anggota penyelamat menggunakan alat bantuan pernafasan yang terdapat di jentera untuk masuk ke dasar sungai bagi mengeluarkan mayat mangsa yang terbenam,” katanya.

Beliau berkata, lokasi penemuan mayat itu empat kilometer dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam pada 30 Mac lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mangsa dikatakan ke sungai itu bersama dua rakan yang lain sebelum dihanyutkan arus deras selepas hujan jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:44 AM