Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Jasad pemandu lori, Sharul Nizwan Said, 33, yang terperangkap apabila kenderaan dipandunya terjunam ke laut pada kejadian di Jimah Power Plant Bukit Pelandok di sini, ditemui selepas hampir 30 jam operasi mencarinya dijalankan.

Jasad mangsa ditemui di kedudukan 1.4 batu nautika dari muara Sungai Sepang, jam 4 petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, jasad Sharul Nizwan ditemui lengkap berpakaian oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Pengurus Tapak Jimah Power Plant Sanisah Ibrahim, mengesahkan identiti mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Port Dickson," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Said Sapie, 68, bersyukur dengan penemuan jasad Sharul Nizwan.

"Walaupun sedih dengan kehilangan Sharul Nizwan, saya bersyukur dan lega sebaik dimaklumkan berita penemuan jasadnya.

"Saya harap jenazahnya dapat disemadikan segera. Saya juga berdoa dan berharap isterinya tabah dengan dugaan ini. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak berusia lima bulan hingga 13 tahun," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, lori dipandu Sharul Nizwan terjunam ke laut ketika melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di jeti Coal Unloading Edra Energy, Jimah Power Plant.

Jasad jenazah diangkat petugas untuk di bawa ke Hospital Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Jasad jenazah diangkat petugas untuk di bawa ke Hospital Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 7:03 PM