Mayat Mohamad Naim ditemui 1.45 tengah hari tadi sekali gus operasi mencari ditamatkan. FOTO Ihsan JBPM
Mayat Mohamad Naim ditemui 1.45 tengah hari tadi sekali gus operasi mencari ditamatkan. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Rizal Abdullah dan Zuliaty Zulkiffli


MAYAT individu kedua yang dilaporkan terjatuh di Sungai Sik berhampiran pintu pam air Tanjung Sik di Kampung Charuk Kit, Sik semalam ditemui.

Mangsa, Muhammad Naim Ahmad, 28, ditemui dalam lingkungan 500 meter dari lokasi mangsa pertama dijumpai pada 1.45 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik, Mohd Faizol Izwan berkata, mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran pokok buluh di tepi sungai itu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat diserahkan kepada polis dan operasi SAR ditutup kerana tiada lagi mangsa dilaporkan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya mengesahkan hanya dua mangsa saja dilaporkan lemas berdasarkan maklumat polis dan keluarga mangsa.

“Hanya dua mangsa saja dipercayai lemas, bukan tiga seperti dimaklumkan sebelum ini.

“Setakat ini paras kelajuan air juga sudah berkurangan dan mayat diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke kolam pam air di kawasan itu pada 10.30 malam.

Mayat Mohd Faris Iqbal Hafzal Nizam, 15, ditemui 11 pagi ini di dasar sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Muhammad Naim yang juga petugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dikatakan baru dua minggu bertugas menjaga pintu air berkenaan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Berita berkaitan

Bomba arah tutup sementara rumah pam

2 lelaki dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:08 PM