NOOR Rashid (kanan) dan Din (dua dari kanan) bertemu Che Nat (kiri) sejurus selesai pengebumian Dr Ab Rahman.
NOOR Rashid (kanan) dan Din (dua dari kanan) bertemu Che Nat (kiri) sejurus selesai pengebumian Dr Ab Rahman.

Bachok: Kekosongan kerusi Ketua Polis Kelantan berikutan kematian Datuk Dr Ab Rahman Ismail, kelmarin akan diisi oleh pegawai tinggi yang juga anak jati negeri ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya belum lagi membincangkan calon sesuai untuk menjawat jawatan itu.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan dibuat termasuk meneliti senarai calon yang sesuai untuk meneruskan tugas yang ditinggalkan Allahyarham Dr Ab Rahman.

“Kita akan melantik pegawai yang sesuai untuk menggantikan tempat beliau dan individu itu perlulah anak jati negeri ini atau sekurang-kurangnya pernah bertugas lama di negeri ini.

“Calonnya perlulah seperti Allahyarham yang boleh bergaul dengan masyarakat Kelantan dengan cukup baik dan sangat komited dengan tugasannya.

“Kali terakhir saya menemui Allahyarham ketika program Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Pasir Puteh pada Mac lalu dan ketika itupun beliau menekankan komitmennya berjihad menangani jenayah dadah di Kelantan.

“Kematiannya adalah satu kehilangan yang besar buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) keseluruhannya dan Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian Dr Ab Rahman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis pengebumian itu adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Dr Ab Rahman, 59, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 3.45 petang kelmarin akibat sakit jantung dan komplikasi buah pinggang dan jenazah tiba di rumahnya di Jelawat, di sini pada jam 4.30 pagi semalam.

Lebih 1,000 orang hadir membantu menguruskan jenazah dan memberi penghormatan terakhir. Jenazah sebelum itu disembahyangkan sebanyak dua kali iaitu di Masjid Naim Jelawat dan Masjid An-Nur Kampung Badak, di sini atas permintaan balunya, Datin Che Nat Hassan, 59.

Sementara itu, Che Nat menyifatkan Allahyarham suaminya seorang yang komited ketika bertugas dan pernah mengucapkan rasa bangga kerana dapat berbakti untuk rakyat Kelantan.

“Arwah ucapkan begitu sebelum dimasukkan ke IJN. Katanya dia bangga kerana dapat berbakti untuk rakyat Kelantan dalam mengurangkan kes penyalahgunaan dadah.

“Walaupun tidak menunjukkan sebarang tanda, ketika dalam rawatan, arwah ada sebut yang lambat laun dia akan pergi untuk selama-lamanya.

“Dan, saya sudah bersedia dan reda dengan pemergiannya. Saya mohon supaya rohnya Allah tempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:49 AM