Oleh Zarina Abdullah

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan negeri bersedia menerima pesakit terdiri daripada mangsa banjir yang memerlukan perhatian khusus dan berada dalam keadaan kritikal dari Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri, Pehimi Yusof berkata, empat hospital yang sedang dipersiapkan untuk tujuan berkenaan adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Setiu dan Hospital Besut.

"Kita amat bersimpati dengan permasalahan yang timbul di Kelantan, namun keupayaan membantu agak terhad kerana negeri ini juga mengalami musibah banjir tetapi tetap bersedia memberi bantuan sekadar termampu," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Mohammad Omar berkata, seramai 18 pesakit khas dari Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, dijangka tiba di Hospital Hulu Terengganu petang ini.

"Lapan puluh satu kumpulan perubatan dan 61 kumpulan kesihatan seluruh negeri sedang bertugas melawat setiap pusat pemindahan yang sedang beroperasi di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 6:11 PM