MD Zukir (kiri) menunjukan motosikal dan rangka motor curi yang dirampas.
MD Zukir (kiri) menunjukan motosikal dan rangka motor curi yang dirampas.
Omar Osman


Sungai Petani: Kelicikan dua beradik lelaki yang disyaki mencuri 150 motosikal di bandar ini sejak empat tahun lalu berakhir apabila dicekup polis, minggu lalu.

Suspek berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ops Khas Lejang, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sejati Indah, di sini, jam 11.30 malam, 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, susulan penahanan dua suspek itu, pihaknya turut memberkas dua rakan mereka yang juga pemilik bengkel dan pembeli motosikal curi berusia 27 dan 30 tahun.

Beliau berkata, serbuan pertama hasil maklumat dan risikan pasukan khas itu diketuai Inspektor Mohamad Firdhaust Zainal dan hasil soal siasat dua beradik itu membawa polis ke premis mencuci kereta di Padang Temusu.

“Polis menahan seorang lelaki dan menemui motosikal Yamaha 125Z yang didapati milik anggota polis dan dilaporkan hilang pada petang hari sama.

“Suspek membawa polis ke sebuah rumah yang dijadikan bengkel motosikal di Kampung Sireh, Rantau Panjang, Kota Kuala Muda dan polis menahan pemiliknya,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, semalam.

Md Zukir berkata, pemeriksaan menemui skuter Yamaha Ego, empat rangka dan enjin motosikal Yahama LC135, Honda Wave, Honda EX5 dan Yamaha 125Z, semuanya dilaporkan hilang sejak 2013 hingga 2017.

“Polis mendapati bengkel terbabit dijadikan tempat melerai komponen motosikal curi sebelum dijual kepada pembeli manakala rangka motosikal dibuang ke sungai bagi mengelak dikesan polis.

“Suspek turut membawa polis ke Sungai Muda berhampiran kawasan Rehat & Rawat, Tikam Batu yang dijadikan lokasi mereka membuang rangka motosikal curi yang dileraikan.

“Dengan bantuan Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, kami menjumpai sembilan rangka motosikal dan komponennya di sungai itu yang dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua beradik terbabit dalang yang mencuri motosikal sebelum diserahkan kepada pemilik bengkel untuk dileraikan.

“Seorang lagi suspek menjadi pembeli dan menjual komponen selain menjual terus motosikal curi dengan harga murah.

“Motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha LC 135 misalnya dijual pada harga RM1,500 dan RM500 manakala Honda EX5 dan Wave (RM300),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 5:36 AM