ASISTEN Komisioner Afzanizar Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian barangan motosikal yang dirampas susulan kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket curi motosikal 'Geng Ayip Gagap'. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ASISTEN Komisioner Afzanizar Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian barangan motosikal yang dirampas susulan kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket curi motosikal 'Geng Ayip Gagap'. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Melaka: Geng Ayip Gagap yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar negeri ini, tumpas dengan penahanan tujuh lelaki menerusi empat siri tangkapan sejak akhir bulan lalu.

Kumpulan yang dipercayai aktif sejak September lalu itu ditahan secara berasingan sejak penghujung Oktober hingga 5 November lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mereka yang ditahan termasuk dalang kumpulan itu berusia 24 tahun.

"Selain itu, polis menahan dua beradik berusia 32 dan 27 tahun, seorang pelajar sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berusia 19 tahun dan tiga lagi masing-masing dua berusia 23 tahun dan 25 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini. hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan awal mendapati, suspek utama kumpulan penjenayah itu menjalankan aktiviti mencuri motosikal seorang diri dengan mensasarkan kawasan sunyi, sebelum suspek lain memainkan peranan sebagai tukang lerai, pengangkut dan pembeli.

Pada masa sama, katanya, dalang yang tidak bekerja itu juga menggunakan Facebook (FB) sebagai medium menjual barangan curi berkenaan dengan harga serendah RM500.

"Siasatan mendapati suspek pakar mengenai motosikal jenis Honda EX5 dan C70 dan kita berjaya mengesan kaedah penjualan menerusi FB dengan mengiklankan barangan terbabit selepas ia dileraikan.

"Selepas ada pembeli, barangan berkenaan akan dihantar menerusi kurier," katanya.

Afzanizar berkata, suspek utama itu ditahan di sebuah rumah pangsa di Bukit Baru sebelum membawa kepada penemuan sembilan motosikal dan lapan rangka yang disorok di rumah keluarganya di Taman Peringgit Jaya, di sini.

Menurutnya, susulan penangkapan semua suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes kecurian motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah yang membabitkan kerugian kira-kira RM40,000.

"Tiga daripada suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala empat lagi termasuk dalang kumpulan itu direman sehingga Isnin ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 3:46 PM