MUHAMMAD Amin Akmal
MUHAMMAD Amin Akmal
NURHIDAYAH
NURHIDAYAH
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Singapura buntu selepas anak perempuannya hilang sejak sembilan hari lalu dan dipercayai berada di negara ini bersama teman lelaki.

Rashidah Aman, 49, berkata, anaknya, Nurhidayah Sulaiman, 24, hilang sejak 25 Februari lalu selepas keluar untuk bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura kira-kira jam 3 pagi.

“Anak saya bekerja di bahagian kaunter Japan Airlines bermula jam 3 pagi hingga 3 petang. Kami sepatutnya makan tengah hari bersama pada jam 3 petang selepas dia habis bekerja.

“Bagaimanapun Nurhidayah tidak muncul walaupun saya sudah menunggu sehingga tengah malam. Saya turut berusaha menghubungi telefon bimbitnya namun gagal,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya mendapat panggilan daripada ibu kepada teman lelaki anaknya memaklumkan Muhammad Amin Akmal Abdul Razak, 24, juga tidak pulang ke rumah.

“Saya berusaha mendapatkan pengurus di tempat kerjanya dan pengurus terbabit mendakwa anak saya pulang awal pada 25 Februari lalu dengan memberi alasan bapa saudaranya sakit teruk.

“Keesokan harinya saya membuat laporan polis di negara ini (Singapura) dan siasatan mendapati terdapat rekod anak saya keluar dari sempadan negara ini namun tidak diketahui destinasinya.

“Saya kemudiannya mendapat panggilan daripada bapa teman lelakinya memaklumkan kereta yang disewa mereka masuk ke Malaysia dan dilihat berada di Genting Highlands pada 28 Februari lalu.

“Saya tidak pasti punca dia menghilangkan diri. Malah pada hari sebelum kehilangannya, Hidayah sempat mencium tangan saya dan memohon maaf,” katanya.

Rashidah berkata, dia membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Johor Bahru supaya polis Malaysia dapat mengesan anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk membantunya mengesan anaknya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 8:22 AM