Bapa mangsa melihat anaknya dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum kenderaan itu beredar dari rumah mereka di Sungai Chua, Kajang, Selangor.
Bapa mangsa melihat anaknya dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum kenderaan itu beredar dari rumah mereka di Sungai Chua, Kajang, Selangor.
Hasbi Sidek


SEORANG lelaki bertindak ‘menculik’ teman wanitanya sendiri selepas mangsa menolak kemahuan lelaki itu supaya pulang bekerja semula di kebun sayur di Muar, Johor.

Difahamkan, kejadian culik itu berlaku di kediaman keluarga mangsa berusia 31 tahun itu di Sungai Chua, Kajang, Selangor, jam 12.30 tengah hari 8 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya mengesan suspek dan menahan lelaki itu di sebuah rumah di Taman Serom 6, Tangkak, Johor, lewat petang kelmarin.

Menurut beliau, ketika kejadian 8 Februari lalu, bapa mangsa melihat anaknya dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum kenderaan itu beredar dari rumah mereka di Sungai Chua.

“Bapa mangsa mula panik apabila panggilan telefon daripada anaknya dirampas suspek selain talian juga dimatikan. Siasatan awal polis mendapati wanita itu dilarikan seorang lelaki yang dikenali mereka dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara.

“Suspek dikatakan sebagai majikan kepada mangsa, yang mahu wanita itu pulang bekerja di Muar, tetapi mangsa menolak pelawaan suspek kerana tidak dibayar gaji. Bapa mangsa memaklumkan mangsa bekerja dengan suspek sejak hampir setahun lalu dengan mengusahakan kebun sayur,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya membuat serbuan ke atas rumah suspek di Tangkak, dan berjaya menyelamatkan mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan.

“Ketika dijumpai, mangsa dalam keadaan baik, namun mengatakan dirinya dipukul suspek beberapa kali ketika dalam perjalanan ke Johor. Suspek berusia 43 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.

“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek yang mahu mangsa iaitu teman wanitanya kembali tinggal bersama di Johor namun mangsa enggan.

“Suspek ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut. Siasatan dijalankan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:59 PM