SAIDATUL Ashaheera
SAIDATUL Ashaheera
HM Digital

Kuala Lumpur: “Saya buntu memikirkan nasib anak gadis kami yang hilang sejak sebulan lalu,” kata Abu Bakar Mohd Kassim, bapa Saidatul Ashaheera, 21, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Kampung Baru, di sini, sejak 16 Oktober lalu.

Abu Bakar, 50, berkata, sebelum kejadian, dia mengakui ada mengasari anak tunggalnya yang menghidap penyakit Dyslexia kerana berang anaknya kerap keluar malam sejak beberapa bulan lalu.

“Perubahan sikap Saidatul semakin ketara selepas dia kerap keluar malam sejak mengenali teman lelakinya dua bulan lalu. Saya pun tidak tahu sejak bila mereka bercinta.

“Sebelum ini saya dan isteri menegurnya dengan cara baik supaya tidak keluar malam selalu,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka anaknya yang juga pemilik kad orang kurang upaya (OKU) membuat laporan polis terhadap perbuatannya.

“Saya tidak rasa dia berani keluar dari rumah, apatah lagi membuat laporan polis tanpa bantuan serta hasutan orang lain,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Abu berkata, Saidatul keluar dari rumah pada hari kejadian jam 8 pagi.

“Menurut jiran, dia ternampak anak saya dijemput seorang lelaki. Isteri saya tidak berada di rumah ketika itu kerana bekerja sebagai tukang masak bermula jam 3.30 pagi.

“Saidatul gagal dikesan dan telefonnya tidak dapat dihubungi. Saya membuat laporan di IPD Dang Wangi berhubung kehilangannya.

“Orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi saya di talian 017-2411449 atau memaklumkan kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 5:52 AM