Mohd Firdaus  menunjukkan sijil penghargaan yang diterima pada Majlis Menyambut Kepulangan Sukarelawan, semalam.
Mohd Firdaus menunjukkan sijil penghargaan yang diterima pada Majlis Menyambut Kepulangan Sukarelawan, semalam.

Pelabuhan Klang: Pengalaman mengemudi kapal Nautical Aliya selama 20 hari pelayaran dalam misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar disifatkan paling bersejarah buat Kapten Mohd Firdaus Faisal Mohamed, 42.

Menurutnya, situasi arus deras serta laut cetek yang tidak dapat menampung saiz kapal besar itu perkara biasa berbanding pada awalnya mereka tidak dibenarkan masuk ke Myanmar.

“Alhamdulillah, cuaca sangat baik sepanjang belayar walaupun arus deras namun paling mencabar apabila kerajaan Myanmar tidak izin kapal kami masuk.

“Selepas rundingan dibuat, akhirnya kapal dibenarkan berlabuh dan ini melegakan kami semua,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus yang digelar ‘Captain Jack Sparrow’ berkata, pelayaran bersama sukarelawan itu juga saat indah dan manis buatnya.

“Ini kali pertama saya belayar dengan mereka yang tiada pengalaman. Walaupun begitu, saya bersama anak kapal banyak membantu dan sukarelawan cepat belajar.

“Silaturahim terjalin antara sukarelawan dalam kapal ini sangat akrab dan pelbagai aktiviti dilakukan antaranya keagamaan selain sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 9:25 AM