Bantuan yang dibawa naik ke kapal Nautical Aliya. FOTO  Muhammad Sulaiman
Bantuan yang dibawa naik ke kapal Nautical Aliya. FOTO Muhammad Sulaiman
Siti Nor Amirah Abu Bakar


Pelabuhan Klang: Kira-kira 2,300 tan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubatan dikumpulkan bagi misi Food Flotilla For Myanmar yang memulakan pelayaran esok.

Ketua misi yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jumlah sumbangan diterima melebihi jangkaan asal dan semua ahli misi juga bersedia memulakan pelayaran ke Myanmar.

"Kapasiti kapal adalah 2,000 tan dan kita akan memikirkan inisiatif lain bagi membawa lebih 300 tan keperluan termasuk menggunakan bot yang ditarik sekali dengan kapal ini.

"Persiapan hampir siap sepenuhnya dan semua 230 sukarelawan sudah bersedia memulakan pelayaran ini," katanya ditemui ketika meninjau persiapan akhir kapal Nautical Aliya yang akan digunakan dalam misi berkenaan di sini sebentar tadi.

Menurutnya, antara negara menyertai misi itu ialah Indonesia, Thailand, Kemboja, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat, Bangladesh dan China.

Katanya, Nautical Aliya dijangka tiba di pelabuhan Yangon, Myanmar pada 8 atau 9 Februari ini dan mempunyai masa kira-kira lapan jam untuk menurunkan bantuan terdiri daripada beras, mee segera, kit kebersihan dan air minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:52 PM