Tuan Asri Tuan Hussein

Izinkan saya sekali lagi menulis mengenai Food Flotilla For Myanmar (FFFM) selepas kapal Nautical Aliya yang membawa 2,300 tan makanan dan ubat-ubatan untuk pelarian Rohingya itu selamat berlabuh di Terminal Antarabangsa pelabuhan Thilawa, Myanmar jam 1.30 waktu tempatan kelmarin.

Sejurus berita mengenainya diuar-uarkan di laman portal media tempatan, saya melihat ada kelompok yang menerimanya sebagai sesuatu yang negatif, berdasarkan komen yang mereka muat naik di laman Facebook (FB) dan kumpulan WhatsApp (WA).

Berikut sebahagian daripada komen negatif itu yang sempat saya catatkan:

1. “Kau bagi kepada kerajaan Myanmar, jawabnya hancus la”

2. “Kalau setakat hantar ke pelabuhan Yangon baik pakai kurier je”

3. “Reban ayam diserahkan kepada serigala...”

4. “Tak malu ke Malaysia pergi bantu musuh Allah?”

5. “Yang seronok, sukarelawan yang pergi free, dapat belayar...makan angin free...”

Ia amat bertentangan dengan laporan media arus perdana yang menyifatkan misi FFFM sudah tercapai dan berjaya apabila dapat menyerahkan sebahagian daripada barangan kepada kerajaan Myanmar untuk diserahkan kepada etnik Rohingya yang menjadi mangsa penindasan di wilayah Arakan.

Secara peribadi, saya tidak menganggap penyerahan simbolik 500 tan barangan sumbangan rakyat Malaysia oleh Ketua Misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr Win Myat Aye sebagai satu kejayaan.

Ini kerana, misi FFFM belum selesai. Petang semalam kapal yang bertolak dari Pelabuhan Klang tanggal 3 Februari lalu bersama 184 sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu meneruskan pula pelayaran ke Chittagong, Bangladesh dan dijadual tiba esok.

Justeru, amat tidak adil jika ada pihak yang mencerca dan menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap misi FFFM. Lebih menyedihkan, kata-kata cercaan yang saya himpun di FB dan WA itu dilontarkan insan yang menggelarkan diri mereka sukarelawan dan aktivis masyarakat daripada NGO tertentu.

Bagi saya, tindakan itu sekadar mencerminkan kerendahan moral mereka dan kedangkalan informasi mengenai FFFM.

Maklumat mengenai FFFM saya kupas di ruangan ini pada 21 Januari lalu. Antara lain saya menyuarakan kebimbangan jika misi untuk membantu etnik Rohingya di Myanmar mengulangi kelemahan misi pada 2012.

Alhamdulillah, komen dan pandangan saya itu diterima baik penganjur FFFM selain mengambil kira beberapa perkembangan terkini, lantas mereka membuat beberapa perubahan ke atas perancangan awal pergerakan FFFM.

Antara dua perubahan utama ialah menukar destinasi akhir pelayaran FFFM daripada Yangon kepada Teknaf, Bangladesh dan hanya menurunkan sebahagian kecil barangan di Yangon.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan Myanmar mengenakan syarat ketat antaranya memberi masa hanya 10 jam untuk Nautical Aliya berlabuh di Yangon dan hanya lima wakil Malaysia dibenar mengikut pergerakan jalan darat untuk mengangkut barangan ke Sittwe.

Perlu difahami, 500 tan barangan untuk pelarian Rohingya semalam bukan diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan Myanmar.

Sebaliknya, ada beberapa pegawai kedutaan Malaysia di Myanmar yang mengikuti pergerakannya sehingga ke Sittwe bagi memastikan ia diserahkan kepada penduduk Rohingya yang tinggal di dalam kem pelarian di situ.

Hasil komunikasi setiap hari dengan wartawan Harian Metro Yusmizal Dolah Aling yang berada di atas Nautical Aliya serta wakil penganjur, saya dimaklumkan pihak penganjur kini bertungkus-lumus untuk memastikan baki 1,800 tan barangan itu dapat diserahkan kepada hampir 100,000 pelarian Rohingya di beberapa kem di Teknaf.

Penganjur FFFM berdepan cabaran besar apabila kerajaan Bangladesh tidak memberi kebenaran berlabuh di Teknaf berikutan saiz pelabuhan yang kecil, sebaliknya kapal hanya boleh berlabuh di pelabuhan Chittagong.

Ini bermakna, 1,800 tan barangan dan 184 sukarelawan perlu bergerak mengikut jalan darat sekurang-kurangnya enam jam dari Chittagong untuk ke Teknaf.

Keizinan dan kelancaran pergerakan itulah yang sedang diusahakan dengan gigih oleh wakil penganjur yang berada di Bangladesh sejak beberapa hari lalu.

Oleh itu, keseluruhan penggerak misi FFFM ini memerlukan doa rakyat Malaysia, mudah-mudahan matlamat untuk menyerahkan sumbangan kepada pelarian Rohingya di Teknaf terlaksana.

Tidak adil melemparkan tohmahan tanpa mengambil kira fakta sebenar. Apatah lagi jika kita juga bekerja atas dasar sukarela di bawah payung NGO.

Jadilah aktivis yang matang dan tidak berprasangka. Jika adapun kelemahan pada FFFM, beri kritikan membina dan jadikan ia iktibar serta pedoman.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 7:59 AM