Yangon: Selepas tujuh hari berlayar akhirnya hasrat misi Food Flotilla For Myanmar menyerahkan 500 tan barangan sumbangan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, tercapai jam 5.15 petang semalam.

Dijalankan dalam suasana penuh simbolik, penyerahan itu memberi makna yang besar kepada misi ini yang kini dalam perjalanan ke destinasi kedua, Chittagong di Bangladesh.

Ketibaan kapal dengan 184 sukarelawan disambut Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Duta Besar Malaysia ke Myanmar Mohd Haniff Abd Rahman.

Manakala Myanmar diwakili Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr Win Myat Aye bersama beberapa kenamaan lain.

Ketua Misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menyerahkan barangan itu kepada Dr Win dalam satu majlis sebaik Nautical Aliya merapat ke dermaga.

“Kita berterima kasih dengan kerajaan Myanmar yang memberi kebenaran kepada misi ini untuk menyerahkan sumbangan.

“Sumbangan ini bukan saja untuk orang Muslim tapi juga agama lain termasuk Buddha. Saya yakin duta kita akan pantau segala pengagihan kepada kaum Rohingya dan penganut Buddha,” katanya.

Dalam pada itu Reezal Merican berkata, Malaysia mengakui kerjasama Myanmar dan keterbukaan dalam isu Rohingya.

“Kita akui bahawa Rakhine adalah kawasan memerlukan bantuan. Bukan satu benda yang mudah tidak boleh terlalu skeptikal. Bantuan dihantar ini berjumlah RM5 juta dan selebihnya ke Chittagong,” katanya.

Ditanya mengenai protes dilakukan segelintir rakyat negara ini, beliau berkata, itu adalah perkara biasa dan jumlah mereka hanya 50 orang daripada 52 juta rakyat Myanmar.

“Menteri dia datang sambut kita, jadi itu perkara biasa. Saya hanya timbalan menteri sedangkan yang datang itu menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 6:58 AM