Syed Hamid  dan isteri Puan Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin beramah mesra dengan kanak-kanak pelarian Rohingya sempena forum, semalam.
Syed Hamid dan isteri Puan Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin beramah mesra dengan kanak-kanak pelarian Rohingya sempena forum, semalam.

Kuala Lumpur: “Kerajaan Myanmar mesti patuh kepada keputusan pemukiman (Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN) di Yangon baru-baru ini atas semangat ASEAN kerana mereka juga ahlinya,” tegas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau mempertikaikan tindakan kerajaan negara itu yang mengamalkan diskriminasi apabila membenarkan negara tertentu saja menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak.

Sedangkan, katanya, keputusan utama pada pemukiman terbabit ialah mereka bersetuju untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.

“Kita kena tengok pada keputusan pemukiman, keputusannya mereka bersetuju membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk. Itu keputusan teras

“Sebagai ahli dia tidak boleh diskriminasi, kerajaan Myanmar membenarkan Indonesia membawa bantuan, tetapi mengapa tidak benarkan Malaysia,” katanya selepas merasmikan Forum Tahunan Antarabangsa Solidariti Bersama Rohingya 2017 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutifnya Pusat Rohingya ASEAN (ARC), Dr Mohd Helmi Ibrahim.

Sebelum ini, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dilapor dihalang memasuki Myanmar untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya.

Kementerian Dalam Negeri Myanmar menganggap rancangan misi flotila Malaysia yang membawa bersama kira-kira 1,000 tan beras serta barang-barang keperluan lain untuk penduduk Rohingya di Rakhine sebagai satu ‘penghinaan’ terhadap mereka.

Menterinya Kyaw Swe berkata, misi itu tidak sepatutnya diteruskan kerana dianggap tidak masuk akal.

Syed Hamid berkata, NGO Malaysia tidak mempunyai niat lain sebaliknya hanya mahu membantu etnik berkenaan memperoleh bantuan yang sewajarnya.

“Kita bukan nak datang dengan membawa tentera untuk menggunakan kekerasan, tetapi kita datang sebab dunia tahu bahawa orang di barat Myanmar perlukan bantuan kemanusiaan, jadi, kenapa tidak benar Malaysia masuk?” katanya.

Katanya, bantuan berkenaan adalah sepenuhnya sumbangan daripada rakyat Malaysia melalui NGO.

Dalam pada itu, katanya, kira-kira 50,000 hingga 70,000 pelarian Rohingya berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:18 AM