MOHD Haniff Abd Rahman.
MOHD Haniff Abd Rahman.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan Myanmar sudah memberi kelulusan secara bertulis kepada penganjur misi Food Flotilla For Myanmar untuk berlabuh di Yangon.

Duta Besar Malaysia ke Myanmar Mohd Haniff Abd Rahman berkata, kebenaran itu diperoleh Jumaat lalu dan ia sudah pun dihantar kepada wakil penganjur iaitu Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) pada hari yang sama untuk persiapan akhir sebelum berlepas 3 Februari ini.

Katanya, antara lain, surat itu turut memaklumkan 30 orang sukarelawan dibenarkan turun ke pelabuhan untuk menyaksikan penyerahan barangan sumbangan kepada kerajaan Myanmar.

"Tiada tambahan syarat lain. Apa yang dibincangkan dalam pertemuan baru-baru ini dipersetujui kerajaan Myanmar. Cuma penganjur perlu menyerahkan senarai nama yang akan turun secepat mungkin dan menyusun atur pergerakan majlis itu nanti. Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye dijangka mewakili kerajaan Myanmar pada majlis itu nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, Mohd Haniff bersama Ketua Penerangan KP1M Datuk Razali Ramli mengadakan dua pertemuan bersama Ketua Pengarah Organisasi Antarabangsa dan Ekonomi Kementerian Luar Negeri Myanmar Kyaw Moe Tun dan Dr Win Myat Aye di Nay Pyi Taw khusus bagi membincangkan misi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:55 PM