LATIPAH  membantu   Ahmad Saridi  yang terlantar sejak dua tahun akibat penyakit kencing manis di kediaman mereka di Kampung Padang Setoi.
LATIPAH membantu Ahmad Saridi yang terlantar sejak dua tahun akibat penyakit kencing manis di kediaman mereka di Kampung Padang Setoi.
Muhaamad Hafis Nawawi


Padang Terap: Terjatuh dari motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dua tahun lalu mengubah kehidupan seorang penghidap kencing manis apabila dia lumpuh selepas menjalani pembedahan.

Ahmad Saridi Abdullah, 46, berkata, dia yang bekerja kampung ketika itu menunggang motosikal untuk ke rumahnya di Kampung Padang Setol A, di sini, dan terjatuh dari motosikal menyebabkan kedua-dua kakinya cedera.

“Bagaimanapun selepas pembedahan itu, kedua-dua kaki tidak dapat bergerak dan disahkan lumpuh kemungkinan akibat tisu rosak, tambahan pula saya menghidap kencing manis sejak 15 tahun lalu.

“Saya kini terlantar di rumah dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan dan bergantung dengan isteri (Latipah Kholid, 48),” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap bersama Yayasan Kemiskinan Darul Aman (YAKED), di sini, semalam.

Pada program itu, Ahmad Saridi turut menerima katil sumbangan YAKED bagi meringankan bebannya.

Latipah berkata, sejak suaminya tidak bekerja, dia mengambil alih tanggungjawab itu dan mengambil upah menoreh getah dengan bayaran RM500 sebulan.

“Anak sulung saya berusia 24 tahun sudah bekerja sementara tiga lagi masih belajar dan kami perlu mencari wang untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Bagaimanapun suami bernasib baik apabila menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Seorang lagi orang kurang upaya yang kudung kedua-dua kakinya, Sawin Leethin, 37, turut gembira apabila menerima bantuan motosikal khas sempena Program Ziarah Kasih.

Sementara itu, Mahdzir berkata, program itu diadakan bersama YAKED bagi menyumbang katil dan motosikal khas kepada pesakit kronik di daerah ini selain menghulurkan bantuan lain di beberapa rumah lain.

“Program ini dibuat secara berkala demi membantu meringankan beban rakyat. YAKED mengeluarkan peruntukan membantu rakyat tanpa memilih sesiapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:24 AM