MAHDZIR
MAHDZIR
Muhaamad Hafis Nawawi


Padang Terap: “Jangan menangis dulu (dahulu) setahun itu,” itu nasihat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada guru baru yang bakal ditempatkan di Sabah dan Sarawak untuk mengajar di sana sebaik tamat pengajian.

Mahdzir berkata, guru baru lulusan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Awam (UA) yang akan dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak diminta tidak memohon pulang ke Semenanjung selepas baru setahun mengajar di sana.

Beliau berharap guru baru ini biarlah sah jawatan mereka terlebih dahulu dan sekurang-kurangnya mengajar selama tiga tahun di sana sebelum membuat permohonan untuk bertukar semula ke Semenanjung.

“Janganlah baru setahun sudah mohon hendak balik dan jika boleh biarlah sah jawatan dulu.

“Jangan menangis dulu setahun itu, tetapi mengajarlah di sana sekurang-kurangnya selama tiga tahun dan kementerian akan mempertimbangkan untuk menukar semula ke Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program Ziarah Ramadan di Kampung Padang Bakong, Mukim Tekai Kanan, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, penempatan guru baru juga akan mula dibuat pada Julai ini di mana seramai 1,175 orang membabitkan 746 ditempatkan di sekolah rendah dan 429 di sekolah menengah.

Sementara itu, mengulas mengenai guru duka lara Mahdzir berkata, dasar kementerian jelas iaitu pertukaran boleh dibuat atas sebab ingin balik bertugas di negeri masing-masing tetapi tertakluk pada peraturan sedia ada.

“Jumlah guru yang memohon ingin bertukar sebanyak 20,470 orang namun kelulusan diberi berasaskan kepada apa yang boleh kita bantu seperti kes guru duka lara bagi sesi Jun paling ramai diluluskan.

“Malah dalam tahun ini juga pada Oktober dan Disember akan ada lagi dua kali pertukaran kepada guru yang memohon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:47 AM