Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui GiatMARA memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Junior di seluruh negara secara berperingkat mulai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai permulaan pihaknya mensasarkan seramai 5,000 pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun mengikuti kursus asas jangka pendek yang ditawarkan di 231 GiatMARA seluruh negara.

Katanya, seramai 55 pelajar sudah menerima kursus latihan asas TVET di GiatMARA Padang Terap selama lima hari selepas ia dilancarkan pada 13 Mac lalu.

"Maksud Program TVET Junior ini adalah pelajar yang datang menjalani latihan atau kursus asas jangka pendek selama dua atau tiga hari pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Antara kursus yang ditawarkan adalah asas kemahiran seperti pendawaian elektrik, membaiki basikal, latihan masakan seperti membuat kek dan jahitan. Tujuannya adalah untuk beri pendedahan awal kepada mereka mengenai TVET selain mereka boleh buat sendiri di rumah sekiranya berlaku kerosakan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Walkabout dan Penyampaian Sijil TVET Junior@Padang Terap di GiatMARA Padang Terap di sini, hari ini.

Mahdzir menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta TVET Junior pada perasmian Program TVET Junior di Giat Mara Padang Terap hari ini. FOTO BERNAMA
Mahdzir menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta TVET Junior pada perasmian Program TVET Junior di Giat Mara Padang Terap hari ini. FOTO BERNAMA

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya berharap program ini dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk mengikuti program TVET sehingga peringkat tertinggi bagi memenuhi permintaan industri.

Katanya, GiatMARA turut berkolaborasi bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta ketua kampung bagi memudahkan pelajar yang berminat menyertai program berkenaan.

"Kita akan laksana secara berperingkat di GiatMARA seluruh negara mengikut kemampuan kerana kita perlu mengeluarkan modal untuk membeli bahan latihan kepada pelajar junior ini.

"Kita juga sediakan makan minum serta sijil, selepas tamat kursus maka mereka boleh pilih sama ada mahu teruskan belajar kemahiran ke peringkat tertinggi atau belajar dalam akademik," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata KPLB sedia memainkan peranan dalam memacu kolaborasi antara institusi TVET, kerajaan dan industri.

"Kita faham kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika dalam Penubuhan Badan Koordinasi TVET-Kerajaan-Industri (GITC) yang dilancarkan baru-baru ini.

"Jadi kita akan pastikan pelajar mampu penuhi kehendak industri seperti dalam bidang minyak dan gas, automotif dan perkapalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 4:51 PM