DR Wahid (tiga dari kiri) bersama  Md Rofiki (tiga dari kanan) bertukar MoU penubuhan Dana Wakaf Pendidikan UTM, semalam.
DR Wahid (tiga dari kiri) bersama Md Rofiki (tiga dari kanan) bertukar MoU penubuhan Dana Wakaf Pendidikan UTM, semalam.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Bertujuan membantu pelajar yang kurang kemampuan dan miskin, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil pendekatan menubuhkan Dana Wakaf Pendidikan UTM (DWP-UTM) bagi meringankan beban mereka sekali gus memajukan diri dalam pendidikan dan kepentingan ilmu sejagat.

Dana yang mempunyai persamaan dengan Tabung Endowmen Universiti ditubuhkan pada 2009 itu menggunakan konsep wakaf yang membolehkan orang bukan Islam menjadi pewakaf dan penerima sejajar dengan matlamatnya untuk memberi bantuan tanpa mengira agama.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, penubuhannya dana wakaf ini sejajar dengan Pelan Strategik Pengajian Negara yang menyasarkan Universiti Awam (UA) menjana pendapatan bagi menampung keperluan kewangan masing-masing selain merancakkan aktiviti kesarjanaan ilmu di UTM.

“Dana wakaf UTM adalah inisiatif yang sama cuma perbezaannya ialah penjanaannya berkonsepkan wakaf dan dana yang terkumpul akan dilaburkan untuk menjana pendapatan. Mereka yang memberi sumbangan sama ada individu atau organisasi akan diberikan sijil dan layak mendapat pengecualian cukai pendapatan.

“Dana ini juga adalah program penjanaan dana berlandaskan wakaf am melalui sumbangan berbentuk tunai dan harta yang mana pewakaf mewakafkannya kepada UTM sebagai pemegang amanah bagi kepentingan ilmu dan manfaat ummah sejagat.

“Dana wakaf ini untuk membantu golongan yang layak menerima dan turut disasarkan bagi aktiviti konsultansi, pembangunan makmal, penyediaan tesis, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran DWP-UTM oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abdul Mutalip Abd Rahim, di UTM di sini semalam.

Dalam majlis itu UTM dan MAINJ turut menandatangan memorandum perjanjian persefahaman yang ditandatangani Dr Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, Datuk Md Rofiki Datuk Samsudin.

Dr Wahid berkata, penggunaan dana wakaf ini bertujuan untuk memberi bantuan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar yang berkelayakan yang memenuhi kriteria tertentu.

“Mereka yang layak adalah pelajar yang mengikuti pengajian di UTM , mereka yang mendapat tawaran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PHD secara sepenuh masa, penyelidikan dalam pelbagai bidang keilmuan di UTM termasuklah Fiqh sains dan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:38 AM