DR Wahid menerima sumbangan daripada pihak Azemi Mahat Group Bhd.
DR Wahid menerima sumbangan daripada pihak Azemi Mahat Group Bhd.
Fazurawati Che Lah


Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menyasarkan semua universiti awam (UA) mempelbagaikan sumber penjanaan bagi menampung sebahagian keperluan universiti masing-masing.

Lantaran itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan satu lagi kaedah menjana pendapatan selain endowmen, iaitu Dana Wakaf Pendidikan UTHM.

Sebagai langkah permulaan, satu majlis Prapelancaran dana ini diadakan baru-baru ini di Pekarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah.

Majlis bertujuan memperkenalkan warga universiti mengenai konsep Wakaf Tunai Pendidikan yang sedang dan akan dilaksanakan di UTHM.

Wakaf Tunai Pendidikan Universiti adalah program penjanaan dana berlandaskan konsep Wakaf Am melalui sumbangan dana berbentuk tunai dan harta, apabila pewakaf mewakafkannya dengan niat kerana Allah SWT bagi tujuan kemajuan dan kepentingan ilmu sejagat.

Pada majlis ringkas itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Wahid Razzaly menerima sumbangan wakaf bernilai RM50,000 daripada Azemi Mahat Group Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Datuk Md Azemi Mahat.

Sementara itu setiap wakil Pusat Tanggungjawab (PTj) yang hadir turut menerima tabung wakaf sebagai langkah permulaan untuk pengumpulan dana mewakili PTj masing-masing.

Dr Wahid berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pada 26 Januari memberi status Nazir Khas kepada UTHM bagi melaksanakan inisiatif wakaf ini.

Oleh itu, katanya, UTHM menggalas tanggungjawab dengan menyediakan alternatif dan platform kepada seluruh warganya dan juga masyarakat untuk melakukan ibadah wakaf ini.

“Dana wakaf yang dikumpul ini akan dilaburkan di dalam instrumen yang patuh syariah. Manakala faedah dan keuntungan hasil daripada pelaburan ini akan diagihkan kepada penerima (Mawquf Alaih) yang layak dalam bentuk biasiswa, bantuan kewangan serta kemudahan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

“Selain sumbangan terus ke tabung yang disediakan, UTHM juga memperkenalkan skim potongan gaji bulanan staf, pembayaran di kaunter Pejabat Bendahari UTHM serta sumbangan secara atas talian,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Wakaf Pendidikan UTHM ini boleh dicapai melalui laman web wakaf.uthm.edu.my.

UTHM mengalu-alukan sumbangan semua pihak sama ada penyumbang individu mahupun syarikat dalam menjayakan inisiatif wakaf ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 12:51 PM