Omar Ahmad


Johor Bahru: "Kami berdua hanya memikirkan saham akhirat, tiada niat lain. Semoga tanah yang kami wakafkan ini mampu membangunkan ummah," kata Md Maarof Ab Kadir, 64.

Md Maarof dan isterinya, Jaamaeh Masdar, 59 adalah pewakaf tanah seluas hampir satu hektar yang dianggarkan bernilai RM143,000 di Parit Haji Ariff, Benut dekat Pontian.

Katanya, tanah yang diwakafkan itu adalah milik bersama dengan isteri yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit sebelum ini.

"Saya dan isteri rela hati mewakafkan tanah ini untuk umat Islam. Tanah itu adalah pemberian orang tua dan diusahakan untuk tanam kelapa sawit pada sebelum ini.

"Ini kali pertama saya mewakaf tanah. Memang niat hendak diwakafkan. Saya dan isteri sudah niat hendak wakafkan sejak tiga tahun lepas tetapi disebabkan pandemik Covid-19, jadi urusan tertangguh.

"Tiada niat lain, saya lihat ini adalah simpanan saya dan isteri di akhirat nanti, jadi saya terbuka untuk berwakaf," katanya.

Md Maarof dan Jaameah Masdah. FOTO Omar Ahmad
Md Maarof dan Jaameah Masdah. FOTO Omar Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan hasil wakaf, penyampaian agihan manfaat wakaf dan pelancaran Pelan Pembangunan Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) 2022-2023 di sini, hari ini.

Md Maarof, berharap tanah yang diwakafkan kepada MAINJ itu dapat digunakan untuk kebaikan umat Islam sejagat.

"Kalau ikutkan nilainya tidak besar, namun saya amat berharap manfaat yang diperolehi hasil wakaf ini besar. Mungkin boleh dibina sekolah, pusat tahfiz atau kubur yang bersesuaian mengikut perancangan MAINJ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 1:45 PM