NAJIB  bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian dan  nota bagi sumbangan  bot peronda Jepun kepada Malaysia di Tokyo, semalam.
NAJIB bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian dan nota bagi sumbangan bot peronda Jepun kepada Malaysia di Tokyo, semalam.

Tokyo: Selepas menarik pelabur China kira-kira dua minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini memperkukuhkan pula hubungan dengan pelabur Jepun.

Beliau menggesa pemimpin industri Jepun supaya meninjau lebih banyak peluang di Malaysia kerana negara sudah menjalani program transformasi ekonomi ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi untuk manfaat rakyat.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke negara ini, bermula semalam, berkata peluang berkenaan termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan pembangunan teknologi tinggi.

“Beberapa bidang itu termasuk tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, pembangunan teknologi tinggi memandangkan kami bergerak menaik dalam rantaian nilai dan ingin menjadi ekonomi maju,” katanya semasa majlis makan tengah hari dengan pemimpin industri Jepun di sini, semalam.

Antara pemimpin industri Jepun yang hadir ialah Pengerusi NEC Corporation Nobuhiro Endo, Pengerusi Mitsubishi Corporation Mikio Sasaki, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) East Japan Railway Company Tetsuro Tomita, Pengerusi Sumitomo Corporation Kazuo Omori, Pengerusi Taisei Construction Takashi Yamauchi, CEO Mitsui Co Ltd Tatsuo Yasunaga, CEO Japan Petroleum Exploration Co (Japex) Hideichi Okada, CEO Tokyo Gas Co Ltd Michiaki Hitose, dan CEO IHI Corporation Tsugio Mitsuoka.

Malaysia, kata Najib, mendapat manfaat daripada kedudukan kukuh syarikat Jepun di negara sejak bertahun-tahun dengan pelaburan mereka US$27 bilion (RM127.4 bilion) dan mewujudkan 350,000 pekerjaan.

Pada 2015, Jepun adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia di peringkat global dan terus menjadi pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan dengan lebih 1,400 syarikat Jepun kini beroperasi di Malaysia.

Sebanyak 60 projek dengan penyertaan Jepun diluluskan tahun lepas membabitkan pelaburan berjumlah RM4 bilion, yang dijangka menjana 5,201 peluang pekerjaan. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:46 AM