Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menarik perhatian pelabur dunia apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperoleh pelaburan bernilai RM806 juta dari Tokyo dan Osaka sempena misi perdagangan dan pelaburan selama empat hari ke Jepun pada 14 Oktober hingga 17 Oktober lalu.

MITI berkata daripada jumlah itu, RM80 juta dijana daripada Japan Lifeline Co Ltd (JLL), yang akan membina kilang pertamanya di luar Jepun di Taman Sains Pulau Pinang Utara.

JLL adalah pengeluar peralatan perubatan yang mengkhusus dalam peralatan kardiovaskular.

Selain itu, MITI berjaya menarik pelaburan berjumlah RM74 juta daripada Daiwa House Industry Co Ltd yang akan membina kemudahan logistik dengan perkhidmatan penyimpanan sejuk beku di Malaysia.

Kedua-dua pelaburan berkenaan diperoleh dari Tokyo.

Di Osaka, MITI menarik pelaburan bernilai RM355 juta daripada pengeluar pendingin hawa, Daikin Industries Ltd yang akan membina kilang baharunya di negara ini selain pusat Pengedaran Kumpulan Daikin Malaysia baharu dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pusat Inovasi R&D Daikin.

Satu lagi pelaburan dari Osaka adalah daripada Dai-ichi Seiko Co Ltd yang akan mengeluarkan bahagian plastik untuk sensor automotif bagi pasaran tempatan di Taman Teknologi Nusajaya, Johor bernilai RM297 juta.

“Di Tokyo, pelaburan berpotensi adalah sebanyak RM1.08 bilion dengan kebanyakan pelaburan tertumpu dalam industri petrokimia, logistik dan peranti perubatan.

“Di Osaka, potensi pelaburan ialah RM1.05 bilion dengan potensi import sebanyak RM33 juta. Pelaburan berpotensi ini tertumpu dalam industri elektrik dan elektronik manakala aktiviti perdagangan berpotensi daripada sektor perkilangan, produk isi rumah dan produk DIY,” demikian menurut kenyataan itu.

Misi perdagangan menyaksikan sebanyak 203 pertemuan perniagaan individu diatur di Tokyo dan 125 diadakan di Osaka.

Misi perdagangan itu juga melawat dua syarikat utama Jepun, iaitu Nissan Motor Corp dan Shimadzu Corp untuk meneroka potensi pelaburan.

Delegasi yang dianggotai 91 wakil itu diketuai Menteri MITI, Datuk Darell Leiking serta wakil kerajaan negeri Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, selain 76 wakil syarikat swasta.

Pada 2017, Jepun adalah rakan dagang global keempat terbesar Malaysia dan kedua terbesar dari Asia Tenggara selepas China, manakala Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:15 AM