MASKAH ditemani dua anaknya menyiram air mawar di atas pusara arwah suaminya Zarani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Prak, Gua Musang, kelmarin.
MASKAH ditemani dua anaknya menyiram air mawar di atas pusara arwah suaminya Zarani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Prak, Gua Musang, kelmarin.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Saya terima takdir Tuhan dan itu rangka arwah suami,” kata Maskah Ab Kadir, 37, selepas pengebumian arwah suaminya, Zarani Abdullah Zawawi, 37, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Prak, Bertam, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum ini dia tidak dapat menerima hakikat selepas rangka yang ditemui di celah batu di hutan Pos Pulat oleh pasukan mencari dan menyelamat, Julai lalu, itu disahkan sebagai arwah suaminya.

Bagaimanapun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan sebanyak dua kali menghasilkan kesamaan darah di antara ahli keluarga dengan rangka itu.

“Kami pada mulanya menyangka rangka bersama pakaian sudah reput itu milik rakan suami iaitu Orang Asli yang turut hilang dalam kejadian pada Ramadan lalu,” katanya.

Rangka arwah Zarani dikebumikan pada jam 3.30 petang kelmarin selepas tiga bulan disimpan di Hospital Raja Perempuan Zainab II sementara menunggu keputusan DNA.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 13 Jun lalu, Zarani bersama seorang penduduk Orang Asli, Sudin Salleh, 30, keluar dari rumah di Kampung Kuala Lah dengan menaiki kereta Proton Iswara Aeroback untuk ke hutan Pos Pulat bagi mencari kayu kemuning.

Mereka bagaimanapun hilang sebelum laporan polis dibuat oleh keluarga dan gerakan mencari dilancarkan menemui kereta milik mangsa di hutan Pos Pulat.

Pada 9 Julai lalu, satu rangka ditemui bersama pakaian sudah reput oleh pasukan mencari dan menyelamat tetapi rakan mangsa yang turut bersama ke hutan itu masih gagal ditemui sehingga sekarang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan rangka tulang arwah Zarani diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:23 AM