NIK Man (kanan) mengunjungi Ella dan anaknya di rumah mereka, semalam.
NIK Man (kanan) mengunjungi Ella dan anaknya di rumah mereka, semalam.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Keluarga dua lelaki yang hilang di Hutan Simpan Nenggiri di Pos Pulat, di sini, sejak 13 Jun lalu masih menaruh harapan insan kesayangan mereka masih hidup.

Zarani Abdullah Zawawi, 37, dan Sudin Salleh, 30, penduduk Orang Asli hilang selepas ke hutan itu sejak 13 Jun lalu untuk mencari kayu kemuning.

Isteri Zarani, Maskah Ab Kadir, 37, berkata, dia bermimpikan suaminya tiga hari lalu yang memperlihatkan dia dalam keadaan baik dan masih hidup.

“Firasat saya kuat mengatakan dia masih hidup. Dia cuma tersesat. Lagipun hutan itu tempat kebiasaannya mencari kayu kemuning.

“Bukan setahun dua, tapi lima tahun dia meneroka hutan itu. Kali ini mungkin dia tersesat saja,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia maklum pasukan keselamatan menemui rangka di kawasan khemah persinggahan suaminya pada jam 1.45 petang, Sabtu lalu, namun belum diberitahu secara lanjut oleh pihak berkuasa.

“Saya tunggu apa dimaklumkan polis nanti. Sementara itu saya terus berdoa meminta yang baik daripada Allah untuk keselamatan suami saya. Saya harap rangka itu bukan dia,” katanya.

Isteri Sudin, Ella Dagong, 28, ketika menerima kunjungan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Nik Man Nik Ya berkata, dia menerima apa saja yang berlaku ke atas suaminya selepas sebulan Sudin hilang.

Katanya, dia tidak mampu menolak takdir Tuhan, tetapi terkilan apabila tidak sempat menemui Sudin buat kali terakhir ketika lelaki itu keluar rumah untuk ke hutan, 13 Jun lalu.

“Dia pergi begitu saja, tidak tinggal duit untuk perbelanjaan dapur. Mujur ada bantuan pelbagai pihak kerana saya ada lima anak kecil,” katanya.

Sementara itu, Nik Man berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat masalah dihadapi kaum Orang Asli termasuk memberi pembelaan kepada isteri dan anak mangsa hilang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:00 AM