Pasukan mencari dan menyelamat mengawasi kawasan penemuan rangka tulang di Hutan Pos Pulat, Gua Musang.
Pasukan mencari dan menyelamat mengawasi kawasan penemuan rangka tulang di Hutan Pos Pulat, Gua Musang.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: “Saya harap rangka yang ditemui bersama pakaian itu bukan milik suami, bagaimanapun saya tetap reda dengan takdir Allah,” kata Maskah Ab Kadir, 37, isteri kepada Zarani Abdullah Zawawi, 37, yang hilang di hutan Pos Pulat, hampir sebulan lalu.

Dia yang masih keliru dengan gambaran cerita penduduk kampung yang menemui tulang manusia pada jam 1.45 petang kelmarin, ingin melihat sendiri pakaian yang ditemui itu.

“Jika benar ia (mayat) suami, saya reda kerana semuanya ketentuan Ilahi walaupun dia meninggalkan saya bersama dua anak dengan cara sedemikian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, Zarani bersama rakannya penduduk Orang Asli Sudin Salleh, 30, yang berasal dari Kampung Kuala Lah, masuk ke dalam hutan Pos Pulat untuk mencari kayu kemuning bagi mendapatkan wang untuk menyambut Aidilfitri.

Mereka menaiki kereta Proton Iswara milik Zarani dan kebiasaannya pulang semula ke rumah dalam tempoh antara satu hingga dua minggu selepas berada di dalam hutan, namun selepas hampir sebulan mereka tidak pulang, satu laporan polis dibuat ahli keluarganya.

Operasi mencari mereka dimulakan pada 1 Julai lalu oleh pasukan mencari dan penyelamat yang kemudiannya menemui kereta mangsa di hutan berkenaan, disusuli penemuan bangsal dipercayai tempat mangsa berteduh.

Menurut Maskah, dia berdoa siang dan malam supaya suaminya cepat ditemui, tetapi penemuan rangka itu belum mengesahkan lagi sama ada ia milik suaminya atau penduduk Orang Asli.

Katanya, dia tidak pernah bermimpi kejadian buruk menimpa suaminya kerana sebelum ini menganggap hilang di hutan itu adalah perkara biasa.

“Suami memang biasa masuk hutan di Pos Pulat mencari kayu kemuning untuk dijual yang menjadi sumber pendapatan utama.

“Aidilfitri lalu, saya menyambutnya bersama anak- anak dan tidak sangka kejadian buruk menimpa suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:17 AM