MANGSA, Zarani Abdullah Zawawi, 37, hilang sejak dua minggu lalu selepas masuk ke dalam hutan Pos Pulat, Gua Musang bersama seorang rakannya untuk mencari kayu kemuning sejak 13 Jun lalu. FOTO Ramli Ibrahim
MANGSA, Zarani Abdullah Zawawi, 37, hilang sejak dua minggu lalu selepas masuk ke dalam hutan Pos Pulat, Gua Musang bersama seorang rakannya untuk mencari kayu kemuning sejak 13 Jun lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Dua lelaki hilang sejak dua minggu lalu selepas masuk ke dalam hutan Pos Pulat, Gua Musang untuk mencari kayu kemuning.

Zarani Abdullah Zawawi, 37, bersama seorang rakannya penduduk Orang Asli, Sudin Salleh, 30, keluar rumah di Kampung Kuala Lah di sini dan masuk ke dalam hutan Pos Pulat pada 13 Jun lalu dengan menaiki kereta Proton Iswara.

Bagaimanapun, sehingga pagi ini kedua-dua mangsa masih belum pulang ke rumah.

Menurut isteri Zarani, Maskah Ab Kadir, 37, berkata, kebiasaannya suami yang sering keluar mencari kayu kemuning akan pulang ke rumah dalam tempoh dua minggu.

Katanya, bagaimanapun sebelum keluar rumah pada 12 tengah hari, 13 Jun lalu, suami berjanji akan pulang dalam tempoh seminggu kerana mahu membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

"Oleh itu, suami hanya membawa bekalan makanan sekadar cukup seminggu sahaja. Saya pun hairan kenapa sehingga sekarang dia masih belum pulang sedangkan suami sering masuk ke dalam hutan sama sebelum ini.

"Bimbang dengan keselamatan suami, baru malam tadi saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang selepas usaha mencari dengan bantuan penduduk kampung gagal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan behubung kejadian kehilangan dua lelaki terbabit dan usaha mencari kedua-dua mangsa sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 1:23 PM