MADIUS (kiri) pada majlis pelancaran ekspedisi ke Artik bersama antara peserta.
MADIUS (kiri) pada majlis pelancaran ekspedisi ke Artik bersama antara peserta.
Nursyahirah Marzuki


Sepang: “Saya menggalas satu tanggungjawab yang besar apabila dipilih Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) untuk menyertai ekspedisi ini kerana pertama kali membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa,” kata seorang daripada pelajar Program Student On Ice:Arctic Educational Expedition 2016, Hanifah Mohd Rofiq, 16.

Pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu itu berjaya dipilih menyertai program berkenaan selepas melalui beberapa peringkat pemilihan.

Antaranya termasuk ujian saringan pengetahuan sains dan isu polar, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris (secara lisan dan bertulis) serta tahap kreativiti dan keupayaan fizikal.

“Saya sangat bangga dan bertuah apabila terpilih untuk menyertai program ini yang bukan sahaja mampu memberi pengalaman baharu malah dapat meneroka dunia sains dengan lebih mendalam bersama pakar sains di sana.

“Melalui program ini saya dapat bertemu dengan rakan daripada negara lain yang mempunyai minat yang sama dan malah memberi peluang kepada saya melihat kehebatan sains dengan lebih jelas lagi,” katanya ketika ditemui selepas majlis menghantar guru dan pelajar bagi mengikuti program berkenaan di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Selain Hanifah, seorang lagi pelajar Muhammad Arif Mohd Robi, 16, dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan seorang guru Nurul Ain Johar, 26 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Marang, Marang, Terengganu turut dipilih mengikuti ekspedisi itu.

Program selama dua minggu bermula semalam hingga 5 Ogos ini akan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan persekitaran artik dan hubung kait dengan budaya penduduk.

Hanifah berkata, apabila ekspedisi berkenaan tamat kelak, dia berharap dapat membawa pulang pengetahuan yang amat bernilai seperti perubahan di Artik yang mempengaruhi iklim di negara ini bagi membantu kerajaan dan masyarakat menangani masalah pemanasan global.

Sementara itu, Madius berkata, program tahunan yang dilaksanakan kementerian melalui YPASM itu bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang sains.

Katanya, ia sekali gus dapat melahirkan lebih ramai penyelidik yang dapat membantu perkembangan sains dalam negara.

Menurutnya, ekspedisi ini dapat mewujudkan evolusi baru dalam menarik minat pelajar untuk mendekati bidang sains sekali gus meningkatkan peratus pelajar yang memilih bidang sains berbanding sastera.

“Mereka akan diberi pendedahan untuk memahami dan meneroka penyelesaian isu perubahan iklim global melalui aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang program itu.

“Peserta bukan saja terdedah kepada keadaan baharu, malah dapat berkenalan serta bertukar pendapat dan mengeratkan perhubungan dengan peserta dari negara lain,” katanya.

Lebih 100 pelajar dari seluruh dunia termasuk dari Kanada, Amerika Syarikat, Denmark, Sweden, Norway dan Jepun akan menyertai ekspedisi kali ini.

Ekspedisi ini turut disertai kakitangan sokongan yang terdiri daripada saintis, ahli sejarah, pengembara, penulis buku, guru dan kru lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:57 AM