Abang Polar berkongsi pengalaman berada di artik, Kutub Utara kepada pelajar sempena MSN peringkat Pahang. FOTO Asrol Awang
Abang Polar berkongsi pengalaman berada di artik, Kutub Utara kepada pelajar sempena MSN peringkat Pahang. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


RIZAL Khalid atau turut dikenali dengan panggilan Abang Polar, 44, tidak menjangkakan berjaya meneroka kawasan artik, Kutub

Utara sejauh 300 kilometer bersama kereta luncur salji anjing, April tahun lalu.

Pengalaman berharga itu memberi inspirasi kepada Rizal bahawa tiada yang mustahil jika berpegang kepada semangat dan keyakinan.

“Atas sebab itu, saya kongsi pengalaman sepanjang berada di artik kepada pengunjung khususnya pelajar pada Minggu Sains Negara (MSN) untuk dijadikan pembakar semangat kepada mereka.

“Bagi saya, semua perkara yang kita lakukan berkait dengan ilmu sains dan pengalaman di artik banyak membantu mempelajari sesuatu yang baru.

“Sebagai contoh, cara mengawal suhu badan apabila berada di tempat sejuk terutamanya dari segi pemilihan pakaian bagi mengelak kesejukan,” katanya.

Rizal ditemui pada MSN peringkat Pahang di Dewan Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kuantan hari ini.

Pada April tahun lalu, Rizal muncul pengendali kereta luncur salji menggunakan anjing pertama Malaysia menyertai ekspedisi ‘Fjallraven Polar 2018’ di artik.

Rizal mewakili Malaysia bersama 19 peserta lain dengan ekspedisi itu bermula di pinggir Fjord, Norway dan berakhir di kawasan Jukkasjarvi di Lapland, Sweden.

Rizal juga turut berkongsi pengalaman mengembara mengikut garis panduan ajaran Islam seperti menggunakan sarung tangan apabila mengendalikan anjing dan menggunakan cara tayamum untuk mengambil wuduk.

Selepas artik, Rizal dalam perancangan ke Antartika di Kutub Selatan bagi mencabar kemampuan diri dan sedang mencari penaja melaksanakan misi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:52 PM