Zuraida (tengah, tiga dari kanan) dan   Norshilawat (tengah)   bersama peserta  Program Duta Sains Terengganu Siri ke 4, semalam.
Zuraida (tengah, tiga dari kanan) dan Norshilawat (tengah) bersama peserta Program Duta Sains Terengganu Siri ke 4, semalam.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


PETAH berdebat, berani serta berkeyakinan tinggi menjadi resepi kejayaan Nur Annisa Irwani Lokman Al Hakim, 10, sehingga dinobatkan penerima Anugerah Duta Sains Terengganu kategori Murid Sekolah Rendah.

Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek (SKSL), Setiu itu menewaskan 11 peserta daripada lima sekolah yang layak ke peringkat akhir pada Program Duta Sains Terengganu 2019.

Nur Annisa berkata, dia membuat persiapan rapi sebelum menyertai program kerana menyedari semua peserta terdiri daripada murid terbaik dari seluruh negeri.

“Bermodalkan kepetahan bercakap selain pengalaman berdebat, saya menandingi peserta lebih berusia.

“Saya sangka hanya bertanding dengan peserta seusia, namun terkejut apabila berhadapan dengan murid tahun lima dan enam,” katanya pada Majlis Perasmian Penuntut Program Duta Sains Terengganu 2019 di sini, kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) Rosman Roslan dan Perunding Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Luar Repsol Oil dan Gas Malaysia Berhad, Norshilawati Othman.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi pendorong dia meminati mata pelajaran sains, sekali gus mencapai cita-cita sebagai pensyarah.

“Selepas dianugerahkan duta sains, saya rasa bertanggungjawab memastikan -rakan dan orang sekeliling meminati sains.

“Sepanjang program saya diajar dan dibimbing secara tidak langsung sebagai duta bagi menanam minat semua murid terhadap sains,” katanya.

“Semua ilmu sepanjang program itu dimanfaatkan ketika menyampaikan maklumat sains kepada semua orang,” katanya.

Sementara itu, Norshilawati berkata, pihaknya bersama PSKT menganjurkan Program Duta Sains bertujuan memberi pendedahan dan latihan pelajar menjadi sains komunikator terbaik.

“Semua peserta peringkat menengah dan rendah diberi bimbingan dalam menyampaikan maklumat sains dengan kaedah kreatif, menarik serta mudah difahami.

“Seramai 26 pelajar terpilih dan disaring daripada 40 sekolah untuk menobatkan duta sains peringkat sekolah menengah serta rendah,” katanya.

Menurutnya, Repsol Oil dan Gas memperuntukkan RM40,000 bagi menjayakan program itu dan mungkin menjadi acara tahunan bagi membantu Jabatan Pendidikan Negeri dan kerajaan negeri menyemarakkan minat sains dalam kalangan pelajar.

Pada program itu juga, pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Nurwafa Syazrilimri dinobatkan sebagai Duta Sains Terengganu ketegori Pelajar Sekolah Menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:00 AM