Hafiz ketika mengembara  di Denali, Alaska Mac lalu.
Hafiz ketika mengembara di Denali, Alaska Mac lalu.
HM Digital


Penggiat aktiviti sukan rekreasi, Hafiz Ithnin sedang memburu kelayakan menyertai ekspedisi lingkaran artik, FJÄLLRÄVEN POLAR 2017 yang berlangsung April 2018.

Acara tahunan yang dianjurkan pengeluar barangan aktiviti rekreasi dan gaya hidup, FJÄLLRÄVEN mencari wakil dari pelbagai negara atau kumpulan negara antaranya Asia dan Oceania terdiri daripada Malaysia, Vietnam,China, Thailand, Singapura, Australia dan New Zealand.

Hafiz berkata, setiap peserta dipilih menerusi pungutan undi tertinggi yang diraih bagi membolehkan mereka menyertai ekspedisi antarabangsa itu.

Orang ramai boleh mengundinya menerusi laman web http://polar.fjallraven.com dan memilih pilihan ‘vote’. Seterusnya memasukkan nama Hafiz Shibuya dikotak carian nama atau ‘search by name’. Undian berakhir pada 14 Disember ini.

“Saya mendapat tahu mengenai ekspedisi ini agak lambat dan ia menjadi impian untuk menyertainya kerana meneroka dunia ais adalah perkara yang saya gemar untuk lakukan.

“Setakat ini, saya berpengalaman meneroka lokasi berais dan suhu sejuk tinggi seperti di Denali, Alaska. Selain itu, saya juga antara peserta yang berjaya menamatkan pendakian ke Kem Induk Gunung K2, Pakistan yang terkenal dengan laluan pendakian paling mencabar dunia seperti perlu berkhemah di atas ais selama tujuh malam,” katanya di sini, semalam.

Selain itu, beliau yang juga wartawan rencana Harian Metro khusus dalam bidang pengembaraan serta rekreasi turut berpengalaman dalam aktiviti pendakian gunung tempatan dan luar negara seperti pendakian solo ke Kem Induk Everest semasa berlakunya gempa bumi di Nepal.

Hafiz juga terbabit dalam beberapa pendakian di luar negara antaranya Gunung Stok Kangri, India; Gunung Esja, Iceland; Kem Induk Nanga Prabat, Pakistan dan pelbagai puncak gunung terkenal di Asia.

Katanya, sekiranya berjaya dipilih sebagai wakil dalam kumpulan berkenaan, beliau ingin berkongsi pengalamannya berdepan dengan cuaca sejuk ekstrem menerusi penulisan dan rakaman gambar serta video untuk dikongsikan kepada orang ramai.

“Ketika ini, melalui pengalaman aktiviti pendakian dan pengembaraan di lebih 30 negara asing di serata dunia, saya pernah juga dijemput untuk berkongsi pengalaman mengenai kerjaya serta minat yang boleh mendorong kepada motivasi hidup.

“Selain itu, saya juga dalam proses menyiapkan buku pengalaman pengembaraan saya sebagai seorang wartawan yang gemarkan cabaran alam ketika mengembara seperti ekspedisi yang dianjurkan FJÄLLRÄVEN,” katanya.

Orang ramai juga boleh membantu beliau mencapai impiannya dengan hanya membuka pautan http://polar.fjallraven.com/contestant/?id=4077.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 7:46 PM